FUZIAH memberi anugerah kepada salah seorang graduan cemerlang.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengisytiharan naik taraf Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) ke status kolej universiti menjadi kejayaan paling bermakna dan lambang kebangkitan institusi Bumiputera yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menerima kelulusan naik taraf dari Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada 13 April lalu, PICOMS membuktikan ia setanding institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di seluruh negara selain semakin mendapat tempat dalam kalangan belia terutama lepasan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenaikan taraf itu adalah pelaburan yang amat bermakna dalam usaha meningkatkan modal insan menerusi pendidikan anak bangsa.

“Tahniah saya ucapkan kepada pengurusan PICOMS di atas detik penuh bersejarah ini dan didoakan semoga PICOMS terus maju dengan jayanya dalam melaksanakan visi dan misinya memainkan peranan besar dalam bidang sains serta yang berkaitan.

“Jutaan tahniah juga diucapkan kepada semua 939 graduan yang menerima sijil dan diploma masing-masing pada hari ini selepas bertungkus lumus serta berusaha keras sebaiknya untuk menamatkan pengajian.

“Diploma atau ijazah yang diterima itu adalah batu loncatan ke dunia kerjaya sebenar selain bukannya penamat untuk mendalami ilmu sebaliknya titik permulaan untuk terus belajar dan meneroka ilmu baru.

“Saya seru, carilah ilmu sepanjang hayat dan jadikannya sebagai budaya hidup kepada semua orang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sempena Majlis Perasmian Pengisytiharan dan Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).

Hadir sama, Naib Canselor PICOMS, Prof Datuk Dr Mohd Zubir Sheikh Saad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS), Dr Mohd Nor Azman Hassan dan Ahli Lembaga Pengelola PICOMS, Abdul Aziz Jusoh.

Dr Mujahid menambah turut menjadi harapan utama agar selain akademik, PICOMS turut melahirkan generasi insan kelas pertama iaitu graduan yang berani, berkeyakinan, mempunyai nilai murni, bersahsiah dan moral yang tinggi, inovatif, kreatif serta berkemahiran.

“Graduan ini sebagai intelek muda negara dan justeru, daya saing yang tinggi dalam kalangan mereka turut bergantung kepada kesediaan diri menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya pada majlis perasmian pengisytiharan itu.

Berkongsi lebih lanjut,
Dr Mohd Zubir berkata, sebahagian besar daripada bekas penuntut PICOMS berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam bidang yang diceburi.

Katanya, hampir 85 hingga 90 peratus daripada graduan lepasan PICOMS menepati kehendak majikan dari segi kemahiran teknikal dan mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing selepas enam bulan menamatkan pengajian manakala selebihnya ada yang memilih meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan status terbaru ini, kita meningkatkan usaha menarik lebih ramai penuntut asing ke PICOMS dan memperkenalkan program peringkat ijazah serta sebagainya, sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi di rantau
ini dan peringkat antarabangsa,” katanya yang mahu menjadikan PICOMS antara institusi berprestij pilihan di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh berkata, IPT yang diwujudkan oleh MAIWP itu juga dilihat menjadi pencetus utama untuk anak-anak golongan asnaf terutamanya fakir dan miskin, keluar daripada kepompong kemiskinan seterusnya merubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

Katanya, MAIWP mengambil langkah proaktif membantu anak-anak golongan asnaf supaya mereka berupaya mendapat peluang pendidikan yang sempurna melalui Skim Bantuan Zakat MAIWP.

“Sehingga kini, 90 peratus penuntut PICOMS mendapat sumbangan RM300 sebulan untuk melancarkan lagi proses pembelajaran mereka selain turut menerima kemudahan hostel percuma, yuran pendaftaran pengajian terendah dan pelbagai keistimewaan lain,” katanya.

Penerima Anugerah Graduan Cemerlang dan Pingat Emas Perdana MAIWP, Muhammad Aliff Mohd Noor, 22, pula berkata, dia bersyukur kerana mampu membuktikan kebolehan diri kepada ibu-bapa, tenaga pengajar dan rakan-rakan yang banyak membantu serta memberi sokongan selama tiga tahun pengajian Diploma Sains Perubatan di PICOMS.


MUHAMMAD Aliff bersama ibu bapanya selepas menerima Anugerah Pingat Emas Perdana MAIWP dan Graduan Cemerlang.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, PICOMS amat istimewa kerana menitikberatkan aspek pembelajaran teori dan praktikal selain mementingkan pembabitan penuntut dalam aktiviti kokurikulum serta program khidmat masyarakat mahupun tanggungjawab sosial korporat.

“Saya aktif menyertai aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat di PICOMS seperti masuk ke kampung Orang Asli untuk memberi semula kepada komuniti apa yang kami pelajari di kelas dengan membuat pemeriksaan kesihatan percuma buat mereka serta banyak lagi.

“Saya turut memastikan pengurusan masa di antara pelajaran dan kokurikulum diatur sebaiknya supaya mampu mengimbangi dua perkara itu. Selain itu, sentiasa ingat pada hadis Rasulullah iaitu jika ingin menjadi Muslim cemerlang, kita perlu mempunyai ilmu dan menyampaikan ilmu itu serta belajarlah untuk ilmu,” katanya.

Muhammad Aliff memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 dan kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Asian Metropolitan University.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:03 AM