PENGARAH Unit JKR KESEDAR, Shukri Ishak (kiri) memberi taklimat kepada Rina selepas perasmian projek menaik taraf Jalan Kampung Berdang Ke Kampung Sungai Rual, semalam.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

Jeli: ”Pembinaan projek menaik taraf Jalan Kampung Berdang ke Kampung Sungai Rual di sini, beri manfaat kepada lebih 3,320 penduduk di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, jalan sepanjang 9.2 kilometer dalam fasa kedua itu menelan kos RM85 juta dan ia dapat memendekkan perjalanan selama dua jam berbanding sebelum ini.

“Projek ini bermula pada 26 Ogos 2013 dan dijalankan Syarikat Chengal Jati Sdn Bhd, siap sepenuhnya pada Januari 2017.

“Ia dilaksanakan selepas mendapat aduan penduduk mengenai keadaan jalan yang teruk kerana tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan, kesusahan mengeluarkan hasil ladang ke bandar Jeli dan terpaksa menggunakan rakit.

“Susulan itu, kami membina kemudahan ini yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk membabitkan beberapa kampung sekitar yang sebelum ini bergantung pada satu laluan sahaja,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Projek Menaik Taraf Jalan Kampung Berdang ke Kampung Sungai Rual Melayu ke Kampung Sungai Rual di sini.

Turut hadir Pengerusi KESEDAR, Datuk Sazmi Miah dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengulas lanjut, Rina berkata, melalui projek ini, ia dapat menyediakan laluan perhubungan sempurna kepada penempatan di sekitar Kampung Sungai Rual.

“Pada masa sama, kami lihat ia mampu meningkatkan sosioekonomi kepada penduduk dan memudahkan perjalanan antara kampung di sepanjang jalan ini serta memudahkan aktiviti mengeluarkan hasil tanaman dan ladang ke bandar Jeli.

“Projek ini juga menjadi jalan alternatif ke jalan utama Lebuh Raya Timur Barat dan memberi keselesaan kepada pelajar dan guru Sekolah Rendah Sungai Rual berulang-alik,” katanya.

Menurutnya, projek ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan infrastruktur rakyat Kelantan.

“Kerajaan amat peka mendengar rintihan dan suara rakyat serta komited bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi rakyat.

“Kami tidak akan membiarkan rakyat luar bandar ketinggalan jauh dalam pembangunan sebaliknya sentiasa berusaha memenuhi keperluan penduduk luar bandar supaya dapat diseimbangkan dan setanding dengan bandar besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:03 AM