MAYAT mangsa ditemui di dalam parit. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias

POLIS mengesahkan kematian lelaki yang mayatnya ditemui dalam parit di kawasan Kampung Balai di simpang masuk ke Wat Pathumviharn, Bachok berpunca daripada serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Abdul Aziz Che Jusoh, 63, ditemui penduduk kampung, 12. 45 tengah hari ini.

Menurut Nik Aminuddin, hasil bedah siasat mendapati mangsa terkena serangan jantung dan bukannya kes langgar lari sebagaimana yang tular di laman sosial dan aplikasi Whatsapp.

Katanya, hasil siasatan awal polis menunjukkan mangsa yang juga seorang nelayan, menunggang motosikal dari arah Tawang menghala ke Perupok dan ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam parit itu.

"Mayat mangsa dijumpai di dalam parit dengan keadaan motosikalnya berada di atas badan arwah dan dipercayai meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam. Polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini," katanya ketika dihubungi.

Nik Aminuddin berkata, terdapat kecederaan luka kecil di lutut kaki kiri dan luka kecil di buku lali sebelah kiri mangsa semasa dia ditemui.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 10:13 PM