PENGEMIS wanita warga Myanmar berusia 30 tahun bersama anaknya berusia 2 tahun diselamatkan dalam satu operasi bersepadu antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Bandar Baru Kubang Kerian. FOTO Ihsan JKM Kelantan
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


WANITA warga Myanmar cuba meraih simpati orang ramai di Kelantan dengan membawa anak perempuannya yang berusia dua tahun mengemis di beberapa bank di Bandar Baru Kubang Kerian dekat Kota Bharu.

Bagaimanapun, wanita itu diselamatkan dalam satu operasi bersepadu antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Menurut pegawai JKM Kota Bharu, Nazri Hussin, operasi itu dijalankan pada Khamis lalu di beberapa lokasi di bandar baru itu.

Katanya, wanita warga Myanmar dan anaknya diselamatkan ketika mereka sedang mengemis di kaki lima Bank Rakyat.

“Hasil pemeriksaan terhadap wanita itu mendapati dia dan anaknya pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Mereka diselamatkan kerana melakukan aktiviti mengemis di negeri ini sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya ketika di hubungi NSTP hari ini.

Nazri berkata, turut diselamatkan ialah seorang lelaki, juga warga Myanmar pemegang kad UNHCR, yang sedang melakukan aktiviti mengemis di kawasan sama.

Katanya dalam operasi sama juga, pasukan itu menyelamatkan empat lagi warga asing yang menjual makanan ringan di sekitar kaki lima beberapa bank di bandar baru itu.

“Keempat-empat mereka adalah wanita rakyat negara jiran, dan mereka semua memasuki negara ini menggunakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Nazri berkata, kesemua tujuh warga asing itu dibebaskan selepas di beri amaran tidak melakukan aktiviti itu lagi.

Katanya operasi yang membabitkan 24 kakitangan JKM dan MPKB-BRI itu diketuai oleh pegawai unit penguatkuasaan JKM Kota Bharu Mohd Shahabudin Shafii.

“Operasi yang bermula 8 pagi dan berakhir 1 tengahari itu, bertujuan mengurangkan bilangan pengemis jalanan di negeri ini dan ia akan dilakukan secara berterusan dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 3:11 PM