Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


HANYA kerana menegur rakan serumah mengambil barang miliknya menyebabkan lelaki diacu pisau dan diugut bunuh dalam kejadian di rumah pekerja di Taman Lagenda, Padang Serai, dekat Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 32 tahun menegur rakan rumahnya yang juga warga Sri Lanka kerana mengambil barang miliknya menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan terus memarahinya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek kemudian bertindak menolak mangsa ke dinding dan mengambil pisau sepanjang 25 sentimeter dan mengugut mahu membunuhnya.

Mangsa yang ketakutan bertindak keluar dari rumah itu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Padang Serai untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan laporan, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya pada 10 malam tadi di rumah pekerja itu dan merampas pisau yang diguna untuk mengugut mangsa.

“Lelaki itu mengaku terbabit dalam kejadian itu dan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, perintah tahanan reman ke atas suspek akan dipohon hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 9:57 AM