GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PEKERJA kedai dobi warga Thailand maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 51, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Pek di Machang, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, penumpang hadapan Maroya Samad, 33, maut di tempat kejadian akibat parah.

Pemandu pacuan empat roda, Bruce Ooi Han Long, 18, cedera di tangan manakala pemandu Perodua Myvi dan Perodua Viva tidak cedera.

Ketua polis daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, ketika kejadian pemandu pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.

“Pacuan empat roda itu kemudian bergesel dengan kereta Perodua Myvi dari arah sama dan terbabas di kiri jalan menghala ke Kuala Krai.

“Berikutan itu, penumpang hadapan yang tersepit di tempat duduknya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 9:00 AM