SM Mohamed Idris pada sidang media di Pejabat CAP, Georgetown, hari ini. Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan sikap segelintir pemilik restoran di negara ini apabila tidak bersetuju dengan langkah kerajaan bagi menguat kuasakan pengharaman merokok di premis mereka.

Ia berikutan objektif pengunjung ke restoran untuk makan dan bukan untuk merokok, malah tabiat itu turut menjejaskan pelanggan lain yang tidak merokok.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata, tabiat merokok di tempat awam juga menyebabkan warga tua, wanita, kanak-kanak dan bayi akan menjadi perokok pasif.

Katanya, kempen pemilik kedai kopi dan restoran dalam memberikan kuasa kepada perokok ibarat ‘memijak’ hak bukan perokok.

“Lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia yang tidak merokok mempunyai hak supaya tidak terdedah kepada asap rokok dan mereka mesti dilindungi berikutan boleh menyebabkan kanser.

“Terdapat peraturan bahawa perokok perlu berada pada jarak kira-kira tiga meter daripada tempat makan, dan adalah menjadi tanggungjawab pemilik restoran mematuhi peraturan ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Georgetown, hari ini.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kebanyakan daripada 4.7 juta perokok di Malaysia mula merokok sebelum berusia 18 tahun dan terdapat lebih daripada satu juta perokok di negara ini berusia bawah 10 tahun.

Menurut Mohamed Idris lagi, syarikat rokok juga sering mendatangi peruncit termasuk pemilik kedai kopi dan meminta mereka mempromosi jenama tertentu.

Katanya, ia bukanlah kes terpencil dan peruncit memperoleh manfaat daripada cabutan bertuah dan hadiah oleh syarikat tembakau.

“Jika itu keadaannya, peruncit tidak boleh lagi mendakwa mereka mahu mendapatkan keuntungan daripada jualan rokok memandangkan mereka mempunyai agenda lebih besar dalam keseluruhan isu berkenaan.

“CAP menegaskan bahawa pendirian semua bentuk merokok dan menghisap vape perlu diharamkan di tempat makan termasuk penjualannya kerana ia mengandungi racun kelas C iaitu nikotina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 3:55 PM