DR Mahathir bersama Imran Khan ketika sidang media selepas mesyuarat sempena lawatan rasminya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor; Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

PAKISTAN menyatakan minat untuk belajar daripada Malaysia membabitkan pelbagai perkara khususnya dalam membangunkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, beliau bersama delegasinya datang ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga seorang negarawan yang berjaya mentransformasikan Malaysia.

“Kami sudah lama mengikuti perkembangan Malaysia. Kami mahu belajar daripada pengalaman Malaysia terutama dalam meningkatkan ekonomi negara dan pendapatan perkapita serta melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang media bersama Dr Mahathir selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Imran berkata, beliau dan Dr Mahathir kini berkongsi situasi yang sama iaitu mendapat kuasa selepas diberi mandat oleh rakyat berdasarkan platform anti rasuah.

“Kami berdepan dengan jumlah hutang luar biasa dan kami ingin belajar daripada Malaysia bagaimana untuk mengatasi isu berkenaan," katanya.

Dilaporkan, Pakistan kini sedang mendapatkan sokongan kewangan bagi meminimumkan kebergantungan negara itu terhadap pakej bantuan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Pakistan berdepan jurang kewangan bernilai AS$12 bilion (RM50.29 bilion) untuk tahun fiskal semasa.

Malah, kerajaan Pakistan berusaha meminimumkan jumlah dipinjam daripada IMF dengan mendapatkan pinjaman negara ‘mesra’ seperti Arab Saudi, China dan Malaysia ketika pihak berkuasa di sini percaya, peminjam global mungkin menyertakan syarat sukar.

Awal bulan ini, Imran Khan mengunjungi China, yang dilaporkan bersetuju memberi bantuan AS$6 bilion (RM25.14 bilion) kepada Pakistan.

Sementara itu, Imran Khan berkata, Pakistan juga mempunyai potensi besar yang belum diteroka terutama dalam sektor pelancongan.

“Kami akan mempelajari daripada Malaysia bagaimana untuk memperkembangkan industri berkenaan termasuk membina kemudahan resort," katanya.

Selain itu, katanya, mesyuarat dua hala sama turut membincangkan untuk meningkatkan sektor perdagangan di antara kedua-dua negara.

Imran Khan pada masa sama turut menjemput Dr Mahathir ke Pakistan sebagai tetamu utama pada 23 Mac tahun depan sempena sambutan hari kebangsaan negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 6:07 PM