KD Hang Tuah di Pangkalan TLDM Lumut. Foto MUHAIZAN YAHYA
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


KAPAL Diraja (KD) Hang Tuah yang juga kapal tertua dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi kapal muzium pertama pasukan pertahanan laut berkenaan.

Pelancaran kapal yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun dalam Armada TLDM juga sebagai satu kaedah tradisi dipraktikkan oleh tentera laut seluruh dunia.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pemilihan kapal berkenaan yang mempunyai nilai sejarah tersendiri dan istimewa dalam perkhidmatan TLDM adalah satu kebanggaan buat warga pasukan itu.

Menurutnya, kapal berkenaan akan ditempatkan di Kompleks Muzium TLDM selepas ia siap dibina sepenuhnya di bandar Lumut, dan akan menjadi sebahagian muzium berkenaan.

“Kerja penyelenggaraan dan modifikasi terhadap KD Hang Tuah akan dilakukan dalam masa terdekat dan dijangka awal tahun hadapan dibuka kepada pengunjung untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat lebih dekat dan memahami peranan TLDM.

“Pada peringkat permulaan, Kapal Muzium ini akan kekal berada di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) sehingga struktur penempatan kekal Muzium TLDM siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan KD Hang Tuah sebagai Kapal Muzium TLDM di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Katanya, pelancaran kapal muzium berkenaan dapat memartabatkan sumbangan KD Hang Tuah dalam menjaga kedaulatan perairan negara selain menjadi kapal muzium TLDM pertama negara yang mempamerkan khazanah warisan anggota pertahanan laut itu.

“KD Hang Tuah sudah berkhidmat dalam TLDM melebihi 50 tahun dan sudah melakukan pelayaran sebanyak 12.5 kali mengelilingi dunia membabitkan jarak 500,000 kilometer.

“Kapal ini menjadi kapal muzium pertama dalam negara dan keempat di rantau Asia Pasifik selepas Indonesia, Thailand dan Australia,” katanya.

Menurutnya, TLDM tidak mengeluarkan sebarang kos bagi mewujudkan kapal muzium berkenaan kerana mendapat kerjasama daripada Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam aspek penyelenggaraan dan kerajaan negeri juga menyediakan lokasi untuk menempatkan kapal itu.

Katanya, anggota veteran yang pernah berkhidmat bersama KD Hang Tuah turut bersedia menjadi sukarelawan untuk memberi penerangan mengenai kapal itu kepada pengunjung.

“Kapal ini akan dikekalkan sebagai kapal yang ditauliahkan (Kapal Diraja) dan akan terus dijadikan platform latihan Pasukan Sukarela Simpanan TLDM,” katanya.

KD Hang Tuah atau dikenali sebagai Black Star dibina di Scotland untuk Tentera Laut Ghana sebelum ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut British pada 1973 menggunakan nama HMS Mermaid serta berkhidmat selama tiga tahun.

HMS Mermaid kemudian dipindahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 1977 dan ditauliahkan sebagai KD Hang Tuah dengan mengekalkan nombor pennant F76 ketika dalam perkhidmatan Tentera Laut British.

Aset itu diletakkan dalam Skuadron Frigat ke-21 Armada TLDM di bawah Flotila Latihan dan kapal berkenaan turut dijadikan pelantar latihan bagi Pegawai Dalam Latihan (PDL) serta Laskar Dalam Latihan (LDL) untuk memenuhi prosedur perkhidmatan TLDM sejak 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 5:08 PM