FOTO hiasan Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


LEBIH banyak barang keperluan pengguna turun harga sejak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, perkara itu diperoleh menerusi analisis lebih 1,000 pegawai kementeriannya, yang memantau perubahan harga bagi 417 jenis barang yang kerap digunakan pengguna setiap hari.

“Daripada 417 item yang disemak harganya oleh pegawai pemantau harga, bagi barangan yang dikenakan lima peratus SST, lima peratus barang kekal harga, lima peratus naik harga dan 90 peratus pula turun harga.

“Bagi yang dikenakan 10 peratus SST pula, lapan peratus barang kekal harga, lapan peratus lagi naik harga, manakala 84 peratus pula turun harga.

“Berdasarkan corak perubahan harga ini, anda putuskan sama ada nak buat kenyataan secara umum (mengatakan harga barang naik atau tidak turun) atau menilai berdasarkan fakta dan angka,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pencelahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) yang menyifatkan jumlah 417 barangan yang dipantau KPDNHEP tidak memberikan gambaran sebenar jumlah barang yang turun atau naik harga selepas SST diperkenalkan.

Ahmad Maslan berkongsi pengalamannya memantau harga barang di sebuah kedai 24 jam, dengan pekerja premis itu mengakui hampir semua barangan dalam kedai itu mengalami kenaikan harga sebanyak 10 peratus.

“Saya tidak puas hati dan pergi ke outlet 24 jam yang lain, dan pekerja kedai itu berkata, 182 barang naik harga 10 peratus selepas SST dilaksanakan,” katanya yang menggesa KPDHEP memantau semua 6,405 barangan dikenakan SST.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya sedia berkongsi maklumat dengan teliti mengenai barangan yang mengalami kenaikan, penurunan atau kekal di laman sesawang KPDNHEP.

Katanya, KPDNHEP memilih 417 barangan untuk dipantau kerana ia adalah barangan yang kerap digunakan pengguna, berbanding memantau semua jenis barang.

Ini kerana katanya, ada pasar raya yang mempunyai 40,000 jenis barang dalam unit simpanan stok (SKU) masing-masing.

“Di seluruh negara, contoh lima barangan yang menyaksikan penurunan harga sebanyak satu, tiga dan lima peratus adalah bawang kecil, bawang merah, bawang putih, minyak masak Cap Buruh tiga kilogram, kordial F&N dua liter dan susu rumusan bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 4:40 PM