DR Maszlee Malik. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan ada menggunakan perkataan ‘melarang’ atau ‘ban’ terhadap wakil rakyat pembangkang daripada menghadiri sebarang majlis rasmi di sekolah.

Sebaliknya, beliau hanya berkata, wakil rakyat bukan dari kerajaan perlu mengikut prosedur dengan membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan sebelum memasuki sekolah kerajaan.

“Yang saya kata tak betul apabila digunakan perkataaan ‘ban’ ataupun mengatakan saya melarang. Saya tidak pernah cakap itu, yang saya katakan kepada wakil rakyat yang bukan daripada kerajaan supaya mereka mengikut prosedur membuat permohonan itu.

“Tolong jangan salah faham itu, saya tak nampak apa pun tentangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran program ‘Life Saving Skills’ dan Modul Kesederan Keselamatan dan Menyelamat Di Air Sekolah-sekolah Malaysia 2018 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (Kem Tekali), Hulu Langat, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Semalam, Maszlee ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 di Parlimen berkata berkata, Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan bagi menghadiri program tanpa sebarang alasan kukuh.

Sabri dipetik berkata, beliau kesal dengan tindakan diskriminasi itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam ketika ditanya apakah arahan prosedur membuat permohonan itu hanya terpakai untuk semua wakil rakyat termasuk kerajaan, beliau berkata;

“Cumanya, apabila contohnya saya, sebagai menteri takkan saya nak buat permohonan. Biasanya pihak sekolah yang akan clearkan (putuskan) atau di pihak kementerian kita akan putuskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 4:16 PM
Skip this ad x