MOTOSIKAL dipercayai dicuri yang digunakan suspek di kawasan ladang kelapa sawit di Batu Niah, Miri. Foto MOHD RIZAL ABDULLAH
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


SANGKAAN tiga lelaki ‘terselamat’ menggunakan motosikal curi di kawasan ladang kepala sawit di Batu Niah, Miri, meleset apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, ketiga-tiga warga Indonesia berusia 29 hingga 34 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan Bintulu.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, serbuan dilakukan hasil risikan sejak lebih seminggu lalu berkaitan kes kehilangan motosikal di Miri dan Bintulu.

Menurutnya, hasil serbuan, polis berjaya menemui tiga motosikal jenis Honda Wave, Honda Ex-5 dan Modenas Kristar yang dimiliki suspek.

“Semua nombor pendaftaran motosikal berkenaan sudah ditanggalkan bagi mengelirukan pihak polis.

“Bagaimanapun, semakan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di Miri dan Bintulu,” katanya.

Katanya, suspek berkemungkinan menyangka mereka tidak dapat dikesan kerana berada di kawasan ladang kelapa sawit terutama di kawasan pedalaman.

“Semua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 3:27 PM