PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis (lima dari kanan) menyerahkan replika cek kemenangan tempat ketiga pada majlis perhimpunan bulanan di Seremban 2.
Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my

Jelebu: Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Simpang Pertang berjaya mencipta lapisan perlindungan pada seragam daripada pokok buluh dan kenaf dikenali sebagai Safety Bio-Pad.

Ciptaan berkenaan memenangi tempat ketiga bagi kategori hibrid pada pertandingan sempena Sambutan Hari Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ketua Kumpulan KIK BBDP Simpang Pertang, Pegawai Bomba Irwan Hairul Shah Abd Hamid berkata, kumpulan itu turut disertai lima penuntut dan pensyarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), selain Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kami mengambil masa enam bulan bagi mencipta bahan perlindungan untuk bahagian lutut, siku dan bahu dikenali sebagai Safety Bio-Pad.

“Idea mencipta perlindungan ini timbul kerana kebanyakan anggota penyelamat terdedah kepada pelbagai bahaya terutama pada ketiga-tiga bahagian badan itu terutama ketika melakukan operasi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


IRWAN Hairul menunjukkan seragam bomba yang menggunakan Safety Bio-Pad diperbuat buluh dan kenaf.

Irwan Hairul Shah berkata, serat buluh dan kenaf digabungkan sebelum dijadikan pelapik serta dipasang pada seragam bomba.

Katanya, seragam biasa hanya menggunakan lapisan span bagi melindungi lutut, siku dan bahu menyebabkan anggota badan itu terdedah kepada kecederaan sama ada terkena serpihan besi atau kaca.

“Pihak UPM juga melakukan ujian makmal bagi pelapik keselamatan berkenaan dan mendapati ia menepati tahap piawaian keselamatan dikehendaki.

“Kami juga menerima maklum balas yang baik daripada pasukan keselamatan lain antaranya polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) supaya Safety Bio-Pad turut dipasang pada pakaian seragam mereka,” katanya.

Katanya, penggunaan kenaf sebagai bahan utama juga diharap dapat meningkatkan permintaan dalam industri kenaf negara, sekali gus membolehkan orang ramai mengusahakan penanaman pokok itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:52 AM