DUA lelaki yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi barangan dalam kenderaan di Kluang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


POLIS menumpaskan sebuah kumpulan mencuri barangan selepas memecahkan cermin kenderaan di taman rekreasi di sekitar Kluang yang aktif sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, berdasarkan maklumat pihaknya menahan dua lelaki berusia 30-an di Taman Kluang Barat, jam 4.50 petang semalam.

“Hasil soal siasat ke atas dua suspek itu, kami memberkas pula lelaki berusia 23 tahun dan gadis berusia 18 tahun di dua kedai alat telekomunikasi di bandar Kluang, jam 8.10 malam, hari sama.

“Hasil siasatan ke atas keempat-empat suspek, polis menemui semula beberapa barangan dipercayai dicuri dan peralatan untuk memecahkan kenderaan yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Kluang Indah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, antara barangan ditemui di rumah itu termasuk tiga telefon bimbit, sebuah komputer riba, pemotong dawai, pemutar skru, pahat, kad bank, lesen memandu dan sebuah Nissan Almera.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000 dan siasatan awal mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah.

“Saringan ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek negatif dadah. Kesemua suspek direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

“Polis percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah dan curi dalam kenderaan di sekitar daerah ini dengan penahanan suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan beliau meminta pengadu yang membuat laporan polis datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk pengecaman barang kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 8:27 PM