ABDUL Rahman (tengah) bersama Kadhar Shah (kiri), Mustafa (dua dari kiri), Khairol Fitri (kanan) dan Zaidi pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang di Politeknik Balik Pulau, hari ini. Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my


TIMBALAN Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Abdul Rahman Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang 2018, hari ini.

Abdul Rahman, 54, melahirkan rasa terharu dan bersyukur menerima anugerah itu dan menganggap pemilihannya akan memberi motivasi untuk meneruskan penyelidikan khususnya untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Inilah sebahagian cara saya untuk pulangkan kepada masyarakat sebab berasa sangat bertuah diberi peluang untuk belajar dan menjalankan penyelidikan dalam membantu golongan B40 bagi mengubah nasib mereka,” katanya.

Abdul Rahman adalah seorang penyelidik dan saintis yang menerima lebih 80 geran antarabangsa bernilai lebih RM18 juta bagi penghasilan penerbitan berimpak tinggi termasuk dalam pengkalan data Scopus dan kertas penyelidikan dalam pelbagai jurnal akademik terkemuka dunia.

Beliau juga mempunyai jaringan akademik profesional dari pelbagai negara dunia termasuk di Jepun dan Perancis.

Anugerah berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang turut merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang 2018 bertemakan Menyantuni Umat, Membawa Rahmat di Politeknik Balik Pulau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Abdul Kassim Abul Malik.

Selain itu, Datuk Dr Mustafa Kassim turut menerima Anugerah Qudwatur Rasul (Pendidikan), manakala Khairol Fitri Kiraman bagi Anugerah Qudwatur Rasul (Kemasyarakatan).

Sementara itu, polis bantuan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Zaidi Salleh menerima Anugerah Khas Qudwatur Rasul Khas dan pemilik rangkaian restoran Nasi Kandar Nasmir, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak menerima Anugerah Qudwatur Rasul (Keusahawanan).

Pada majlis sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang diumumkan sebagai kontijen perarakan Maulidur Rasul Pulau Pinang terbaik.

Sebanyak 56 kontijen membabitkan 2,700 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kariah masjid berarak sejauh dua kilometer, bermula dari Maahad Al Mashoor Al Islami ke Politeknik Balik Pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 3:15 PM