FOTO hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SEORANG gadis ditampar dan ditendang bekas teman lelakinya kerana enggan menyerahkan telefon bimbitnya untuk diperiksa sebelum lelaki itu melarikan alat telekomunikasi terbabit, semalam.

Dalam kejadian di sebuah pusat komersial, Jalan Penampang Bypass, Penampang jam 10.30 pagi, mangsa, 17, dipercayai berselisih faham dengan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di pusat komersial itu.

“Hasil siasatan mendapati, pengadu didatangi seorang lelaki dan meminta telefon bimbitnya untuk diperiksa. Lelaki itu memarahi pengadu serta meminta mengikutnya ke tangga sebelah restoran untuk berbincang mengenai status hubungan mereka.

“Berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan suspek tiba-tiba menampar muka serta menendang paha pengadu sehingga terdapat kesan calar di dada pengadu akibat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan lanjut mendapati pengadu terpaksa menyerahkan telefon bimbitnya bagi menghentikan tindakan suspek daripada terus memukulnya.

“Mangsa menyatakan suspek mahu memeriksa telefon itu kerana mengesyaki mangsa mempunyai lelaki lain.

“Mangsa juga mendakwa suspek adalah warga Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Katanya, pihak polis sedang mengesan suspek untuk siasatan kes mengikut Sekyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 3:00 PM