Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.m

cnews@nstp.com.m

LAGAK mencurigakan lelaki yang berpakaian wanita dan bertudung selain memakai penutup muka dengan berjalan kaki di kedai dobi di Pekan Jitra mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi tadi kerana memiliki senjata pisau.

Lelaki berusia 28 tahun itu yang berasal dari Jitra ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sebaik menerima maklumat dari bilik kawalan pada 5.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pada mulanya anggota URB menerima arahan mengatakan lelaki dalam keadaan mencurigakan itu menghala ke kedai serbaneka di Pekan Jitra 2.

Beliau berkata, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi itu, suspek tiada di situ sebelum anggota URB membuat rondaan di kawasan sekitar.

“Lelaki terbabit kemudian dilihat berjalan kaki sambil memegang topi keledar berhampiran kedai dobi di kawasan itu.

“Selepas memperkenalkan diri dan meminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, suspek enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri, namun berlaku pergelutan sebelum ditahan, ” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohd Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui pisau bersama sarung warna hitam yang diselit di pinggang dan terdapat pisau.

Beliau berkata, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 2:41 PM