AZMI Md Noh, 52, dan tiga anaknya di dalam rumah mereka yang sangat uzur dan tidak sempurna di Kampung Pekan Lama, Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my


“SAYA menyara keluarga dengan hasil menjual buah jeruk kelubi dan air kelapa di depan rumah, namun pendapatan yang tidak menentu itu tidak mencukupi untuk membaiki rumah yang uzur.”

Begitu kata Azmi Md Noh, 52, yang tinggal bersama isteri, Samsiah Abdul Karim, 43, serta empat anak di rumah yang dibeli dengan harga RM1,700 atas belas ihsan pemiliknya tiga tahun lalu di Kampung Pekan Lama, Pulai, dekat Baling.

Malah rumah itu yang sudah uzur dengan bumbung bocor dan dinding batu mula retak selain tiada bilik tidur, menyebabkan enam beranak itu terpaksa tidur berhimpit di ruang tamu.

Azmi berkata, akibat kesempitan hidup, dia tidak mampu memberi keselesaan kepada ahli keluarganya menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Menurutnya, rezeki jualan itu sekadar cukup berbelanja harian dan tidak dapat menyimpan untuk membaiki rumah yang sudah uzur.

“Rumah ini berada di atas tanah separuh rizab jalan dan separuh lagi milik penduduk di sini.

“Saya juga menyewa bekalan air dari masjid berdekatan dengan bayaran RM50 sebulan, malah hati ini berasa sedih apabila melihat anak-anak belajar dalam keadaan tidak selesa,” katanya.

Katanya, empat anaknya masih bersekolah iaitu Norisya Izwa, 16, dan Norsyamira, 13, sedang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera manakala Anisya, 11, dan Muaz, 9, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, dekat sini.

“Anak-anak terpaksa meniarap untuk melakukan kerja-kerja sekolah kerana tidak ada kemudahan dan sedih melihat mereka belajar.

“Saya berharap ada pihak bersimpati untuk membaiki rumah yang uzur demi masa depan saya sekeluarga terutama anak-anak yang semakin membesar,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya boleh menghulur sumbangan di akaun bank BSN 05104-41-00016924-2 atas nama Azmi atau menghubunginya di talian 01151261356.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 12:59 PM