IMEJ rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki memecah masuk di sebuah medan selera di Seberang Jaya, semalam.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


MERANGKAK seperti biawak bagi mengelak dikesan pengawal keselamatan.

Itu taktik dua remaja yang memecah masuk sebuah medan selera sebelum melarikan mesin daftar tunai dan beberapa tabung masjid dan anak yatim yang diletakkan di kaunter kedai.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi semalam, aksi dua remaja lelaki berusia belasan tahun itu dirakam kamera litar tertutup CCTV medan selera terbabit dalam keadaan merangkak bertopi keledar bagi mengelak dikesan pengawal keselamatan bertugas.

Penyelia medan selera dikenali sebagai Ridzuan berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja yang masuk bekerja jam 9.40 pagi pada hari kejadian selepas melihat kawasan kaunter berselerak dan mendapati wang tunai RM600 dan tabung derma hilang.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, dua lelaki berkenaan dilihat datang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda sebelum berhenti di kawasan tepi premis.

“Seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal sambil menghalakan lampu motosikalnya ke arah kaunter bagi memudahkan rakannya memecah kaunter.

“Dia menggunakan pengumpil bagi membuka laci kaunter sebelum melarikan wang berjumlah RM600, tabung derma anak yatim, tabung derma dan laci mesin daftar tunai,” katanya.

Menurutnya, suspek juga dilihat memanggil rakannya untuk membantu mengangkat tabung dan membawa sebilah pisau pemotong sayur dari dapur medan selera itu.

Katanya, suspek mengambil masa kurang 10 minit untuk mengangkat kesemua barang curi sebelum melarikan diri.

“Ia adalah kejadian kedua berlaku di medan selera ini dan sebelum ini, beberapa peralatan seperti ketuhar gelombang mikro, beras dan beberapa peralatan lain dicuri dua lelaki menaiki kereta,” katanya.

Susulan kejadian, satu laporan dibuat di Balai Polis Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:22 PM