Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LELAKI warga Indonesia bukan sahaja bertindak sebagai tekong darat, malah dipercayai turut menjadi pengedar dadah selepas sejumlah dadah bernilai lebih RM519,000 dijumpai di dalam bilik tidurnya di Malim Jaya, Melaka.

Kegiatan lelaki berusia 24 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis pada 2.30 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata penangkapan lelaki itu dibuat susulan tertangkapnya sekumpulan enam warga Indonesia yang cuba menyeludup masuk ke negara ini pada 5 November lalu di Pulau Upeh, Klebang.

Beliau berkata, susulan penahanan itu membawa kepada penangkapan empat individu termasuk dua lelaki warga tempatan di sebuah rumah di Taman Merdeka.

“Seorang daripada suspek yang mendakwa dirinya tekong darat kemudian membawa pasukan polis ke sebuah lagi kediaman di Malim Jaya, pada 4.30 petang dan menemui 10 lagi individu termasuk dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga tempatan.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik tidur di kediaman itu menemukan sebuah beg bungkusan hitam mengandungi dadah dipercayai jenis syabu dianggarkan seberat 10.129 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Raja Shahrom berkata, pihaknya percaya dadah berkenaan untuk pasaran Indonesia selain warga asing berkenaan dari Dumai serta Pulau Rupat dan menjadikan Pantai Klebang sebagai laluan masuk secara haram.

“Semua 20 tangkapan membabitkan 17 warga Indonesia termasuk empat wanita serta tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 43 tahun.

“Menerusi tangkapan semua individu berkenaan, polis bukan sahaja berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran, malah sindiket dadah,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 4:17 PM
RAJA Shahrom (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah disyaki syabu dipercayai untuk pasaran Indonesia dirampas daripada sindiket penyeludupan migran pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.