PISAU yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


HANYA kerana ibunya enggan memberi duit untuk membeli dadah, seorang lelaki tergamak mengacu pisau dan mengugut ingin membunuh mangsa di kediaman mereka di Kampung Jeram, Merbau Pulas, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi, suspek berusia 19 tahun meminta sejumlah wang daripada ibunya berusia 47 tahun, namun mangsa enggan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudian mengambil sebilah pisau dan mengugut mahu menikam mangsa.

Menurutnya, suspek turut mengugut dengan berkata ‘hang nak aku bunuh hang ka’ menyebabkan mangsa yang ketakutan melarikan diri.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil ke Balai Polis Sungai Karangan untuk membuat laporan polis.

“Sebaik menerima laporan itu, polis kemudian mengesan dan menahan suspek di rumahnya jam 10.45 pagi tadi,” katanya.

Katanya, suspek akan direman esok dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 3:54 PM