LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Najib hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan hampir empat jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Beliau dipercayai memberi keterangan berhubung siasatan kes pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Kenderaan membawa Najib memasuki pekarangan bangunan SPRM pada 9.23 pagi dan meninggalkan bangunan itu pada 1.15 tengah hari.

Khamis lalu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak, dua tahun lalu.

Bekas pegawai khas Najib, Datuk Rizal Mansor turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari sama atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah membabitkan projek solar berkenaan.

Rizal yang juga bekas pegawai khas Rosmah turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Najib sudah beberapa kali hadir ke SPRM bagi memberikan keterangan membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Kali terakhir beliau hadir ke SPRM adalah pada 8 November lalu.

Pada 20 September lalu, Najib didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah dan 21 aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai kira-kira RM2.3 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 3:23 PM