JHO Low
HM Digital

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low dikatakan bersetuju menyerahkan semua aset miliknya kepada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan didedahkan portal Sarawak Report, tindakan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho itu bagaimanapun, tidak memberi sebarang kerugian kepadanya.

Sebaliknya, semua aset diserahkan kepada DoJ dipercayai mengalami penurunan harga antaranya hartanah di New York, pesawat peribadi di Singapura dan kapal layar mewah, Equanimity.

“Disaat semua aset milik Jho Low mula bertukar menjadi liabiliti, beliau bertindak menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pendedahan itu dibuat selepas ahli perniagaan dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggugurkan tuntutannya terhadap Hotel Park Lane di New York dan membenarkan hartanah itu dijual kepada syarikat pelabur Mubadala yang dimiliki kerajaan Abu Dhabi.

Hotel mewah itu antara aset di AS yang dipercayai dibeli Jho Low menggunakan wang 1MDB.

Pada 2013, Jho Low membeli hotel itu secara usaha sama dengan pemaju hartanah Witkoff Group pada harga AS$654 juta bagi mendapatkan 85 peratus pemilikan.

Syarikat pelabur Mubadala turut membayar AS$135 juta kepada Jho Low pada akhir 2013 untuk mendapatkan kepentingan dalam hotel itu.

Bagaimanapun, menurut laporan Sarawak Report, harga hotel berkenaan mulai merundum dan memerlukan pengubahsuaian.

Dengan menyerahkan hotel berkenaan kepada pihak lain, Jho Low bukan saja dapat berjimat dengan tidak mengeluarkan wang memperbaikinya malah tidak perlu membayar lebihan pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:28 AM