Zuraimi Abdullah
cnews@nstp.com.my


KEPUTUSAN mahkamah supaya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Negeri Sembilan menunjukkan terdapat elemen penipuan oleh kerajaan terdahulu untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU), Mei lalu.

Berkaitan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut merujuk kepada kes yang berlaku di Melaka.

Pada PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) dipercayai memenangi 40,000 undi pada kiraan pertama, bagaimanapun, kalah sebanyak 200 undi pada kiraan kedua.

Perkara itu diberitahu Dr Mahathir kepada media Malaysia selepas penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26, di Papua New Guinea hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihanraya Seremban memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU-14, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, turut membuat keputusan PRK bagi DUN Rantau itu perlu diadakan serta-merta.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan calon PKR Dr Streram Sinnasamy masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Majlis Presiden PH akan memutuskan calon untuk PRK itu.

Isu berhubung parti mana yang akan bertanding tidak akan dibangkitkan, kerana apa yang lebih penting adalah calon berkenaan bakal mewakili keempat-empat parti di bawah PH.

“Calon yang dipilih akan mewakili PH dan bukan BERSATU atau PKR,” katanya ketika mengulas khabar angin sekurang-kurangnya tiga calon PH merebut peluang untuk dicalonkan.

Presiden baharu PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan nama Rafizi Ramli disebut-sebut sebagai salah seorang calon.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin memberitahu kerusi itu seharusnya dipertandingkan oleh calon wanita PH.

Menyentuh berhubung kemungkinan berlaku rombakan Kabinet, Dr Mahathir mengulangi bahawa ia tidak berkaitan memandangkan kerajaan masih baru.

Beliau menjelaskan tidak pernah menyatakan akan melakukan rombakan Kabinet selepas pilihan raya PKR, sebaliknya, langkah itu hanya akan berlaku sekiranya didesak parti PH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:52 PM