SUSPEK dikenali sebagai Monyet (kanan) dan teman wanitanya (kiri) dicekup polis di Taman Seri Utama kerana disyaki terbabit dengan dadah dan kehilangan lori di Taman Rasa Sayang. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli

JENAYAH lelaki digelar ‘Monyet’ yang disyaki mencuri lori di Taman Rasa Sayang, Jitra, berakhir apabila dia ditahan polis, hari ini.

Suspek berusia 25 tahun itu bukan saja mencuri lori tetapi turut terbabit dengan kegiatan dadah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek ditahan bersama teman wanitanya berusia 22 tahun di rumah di Taman Seri Utama, dekat Jitra, 1.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan pada suspek menemui empat paket kecil syabu seberat 1.75 gram dan satu paket kecil jenis heroin seberat 0.07 gram.

“Serbuan menemui lori yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di belakang rumah.

“Semakan ke atas nombor pendaftaran dan nombor casis mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Taman Rasa Sayang Jitra, 8.30 pagi semalam,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Suspek wanita pula pernah mempunyai rekod berkaitan kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Penagihan Dadah 1952.

“Ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Gambar Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 3:17 PM