PEGAWAI KPDNHEP merampas logo halal tamat tempoh yang digunakan premis memproses makanan ringan.
HM Digital

Ipoh: Sebuah premis memproses makanan ringan dan kacang putih di Buntong di sini, dikesan beroperasi dengan sijil halal tamat tempoh hampir dua tahun.

Perkara itu dikesan dalam pemeriksaan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) jam 11 pagi, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan membuat pembungkusan semula makanan ringan, namun siasatan mendapati tempoh pengesahan sijil halal syarikat itu tamat 31 Januari 2017.

“Premis berkenaan bagaimanapun masih mempamerkan logo halal pada papan tanda di hadapan dan dalam premis.

“Sehubungan itu, pihak KPDNHEP menyita papan tanda berlogo halal, satu logo halal dan dua dulang yang berlabel halal untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Menurutnya, KPDNHEP memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, peniaga perlu tahu kesalahan membabitkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan makanan atau barang yang boleh dimakan atau digunakan orang Islam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

“Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 10:30 AM