DR Wan Azizah sebak ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres KEADILAN ke-13 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, hari ini. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Rafidah Mat Ruzki dan Syed Umar Arif
cnews@nstp.com.my


AHLI PKR diingatkan tidak melayan suara pengkhianatan dari dalam mahupun luar yang dianggap mahu menjejaskan ketenteraman parti itu serta mandat yang diamanahkan rakyat.

Tanpa mengulas lanjut, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, parti itu tetap dengan pendirian menyokong kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya.

“Sokongan bulat ini kita sepakati dalam muafakat bersama DAP, AMANAH (Parti Amanah Negara), BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sejak Januari tahun ini.

“Hasrat ini yang dianjurkan kepada rakyat bersama agenda reformasi dalam pilihan raya umum. Langkah awal kerajaan selama enam bulan melegakan dan ini perlu dikekalkan.

“Agenda rakyat perlu diutamakan. Janganlah dilayan desas-desus pengkhianatan dari dalam dan dari luar untuk menjejaskan ketenteraman parti dan mandat rakyat,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah, Alam, hari ini.

Turut hadir, Anwar, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Marzuki Yahya yang mewakili Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan penuh emosi, Dr Wan Azizah turut mengingatkan ahli PKR bahawa perjuangan mereka kini perlu berbeza daripada rejim yang ditentang dahulu dengan pendekatan dan amalan yang ada kelainan serta lebih baik.

Katanya, ia supaya parti itu tidak ditempelak rakyat kerana mengamalkan perkara yang pernah dilakukan pentadbiran negara sebelum ini.

“Jangan sampai rakyat menempelak “ah...sama saja dengan yang dulu…” jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini.

“Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat menyokong kita adalah tepat, buktikan kita mampu melaksanakan amanah dengan berkesan dan rakyat merasai kehadiran setiap kita dalam masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, mana-mana calon yang kalah dalam pemilihan kepemimpinan tertinggi bagi penggal 2018-2021 yang berakhir minggu lalu, tidak disisihkan.

Katanya, PKR adalah sebuah keluarga besar yang mewakili pelbagai masyarakat dalam negara ini, justeru semua perlu memperkukuhkan parti itu dan memastikannya sentiasa relevan dan dinamik dalam arus politik negara.

“Pemilihan PKR selesai dijalankan. Meskipun mengambil tempoh yang lama, tetapi inilah KEADILAN, satu-satunya parti yang membolehkan setiap anggota akar umbi mengundi dari peringkat cabang sehinggalah pimpinan tertinggi parti.

“Esok, saf pimpinan tertinggi yang baharu bagi Sesi 2018-2021 akan ditabalkan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua. Yang menang jalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan yang kalah janganlah disisihkan.

“Seperti kata bidalan ‘carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua’,” katanya.

Ucapan Dr Wan Azizah juga sesekali terhenti selepas beliau sebak terutama apabila bercakap mengenai sejarah penubuhan PKR serta apa yang dilalui parti itu sepanjang 20 tahun penubuhannya pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:41 PM