CALON menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, baru-baru ini. Foto ABDULLAH YUSOF
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


LEMBAGA Peperiksaan (LP) menafikan berlaku kebocoran kertas soalan Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, berkata LP sudah menjalankan siasatan berkaitan aduan diterima berkaitan khabar angin yang tular membabitkan tiga kertas mata pelajaran berkenaan.

“Terdapat khabar angin yang tular menyatakan kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bocor dan calon dikehendaki menduduki semula kertas itu pada tarikh lain yang sudah ditetapkan.

“LP ingin memaklumkan hasil siasatan mendapati berita tentang kebocoran itu adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula kertas yang dinyatakan. Ibu bapa, penjaga dan calon tidak perlu bimbang berkaitan perkara ini,” katanya.

Katanya, peperiksaan sudah dijalankan mengikut garis panduan yang diberikan oleh LP dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Kementerian Pendidikan memohon semua pihak agar lebih prihatin, berhati-hati dan tidak menularkan sesuatu perkara tidak tepat kerana dikhuatiri akan mengganggu emosi dan fokus calon serta ibu bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 8:53 AM