Jenazah Wan Mohamad Ariff isembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pok Man, Kampung Atas Sekil, pada jam 11.30 malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my

JENAZAH Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahya, 28, yang lemas selepas terjatuh di Sungai Paka, Kampung Baru Durian Mentagau, Dungun, Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pok Man, Kampung Atas Sekil, di Pasir Mas jam 11.30 malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba kira-kira jam 10.30 malam dan disembahyangkan di surau berhampiran rumahnya di Kampung Padang Embun sebaik selesai proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Dungun.

Suasana di tanah perkuburan diselubungi pilu dengan kehadiran lebih 300 penduduk kampung yang hadir mengiringi jenazah.

Turut mengiringi adalah isterinya, Sharifah Murni Sayed Ab Aziz, 27, yang kelihatan sugul dan enggan ditemubual.

Difahamkan Sharifah Murni yang juga penuntut Tahun Dua di sebuah kolej jururawat di Kuala Terengganu baharu selesai menduduki peperiksaan pada Khamis lalu.

Ibu mangsa, Wan Yah Wan Yaacob, 52, yang terlantar akibat penyakit buah pinggang mengiringi jenazah yang bertolak dari Dungun dengan menaiki ambulan dan terpaksa diusung menaiki rumah dalam keadaan yang lemah.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang anggota polis dan suspek yang diburu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Penyiram, Durian Mentangau, di Dungun, Jumaat lalu.

Kejadian 8.30 malam itu, Wan Mohd Ariff yang bertugas di Balai Polis Paka dan suspek berusia 39 tahun, dikatakan tergelincir dari tebing sungai itu. Mayat suspek ditemui jam 11.50 pagi Isnin lalu.

Jenazah anggota polis itu ditemui jam 12.25 tengah hari tadi kira-kira 300 meter dari lokasinya terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:43 AM