Rafizi mengaku kalah tetapi mengingatkan Mohamed Azmin bahawa kemenangannya tidaklah besar.
Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan menerima keputusan pemilihan parti berdasarkan jumlah undi tidak rasmi yang menunjukkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatasinya dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Beliau membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik dan mengalah lebih awal.

“Lagi pun, keputusan pemilihan kali ini adalah cukup jelas. Undi popular saudara Mohamed Azmin hanyalah 51 peratus berbeza dua peratus saja dengan undi popular saya yang melambangkan dua aliran berbeza yang sama kuat dan sama penting di dalam parti.

“Isyarat yang dihantar melalui undi anggota yang memberi kemenangan kurang dua peratus kepada saudara Mohamed Azmin, adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh beliau sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam blog miliknya https://rafiziramli.com, malam ini.

Rafizi yang kali pertama bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang Mohamed Azmin sebagai penyandang berkata, secara tidak rasmi beza undi yang beliau peroleh dengan penyandang ialah 2,500 undi, iaitu kurang dua peratus dari jumlah keseluruhan yang mengundi.

Beliau percaya Mohamed Azmin bakal diumumkan Timbalan Presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus berbanding dengan undinya 49 peratus.

“Jumlah undi ini berlatar belakangkan persoalan mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang dipersoalkan oleh semua calon yang bertanding.

“Ada beberapa isu yang menjadi kontroversi, termasuklah kebebasan pengawas oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang daripada awal lagi dipersoalkan kerana aduan yang mereka berat sebelah.

“Begitu juga dengan masalah sistem e-pengundian. Ada bukti yang kukuh bagaimana undi-undi telah hilang secara sistematik seperti yang dibentangkan oleh Akmal Nasir (Ketua AMK yang baru) membabitkan undi di cabang besar yang dilihat berpihak kepada saya.

“Kita juga dikejutkan dengan peristiwa “penghadang isyarat” (jammer) di Kuala Selangor dan talian Celcom dipotong di Pensiangan.

“Paling kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Cabang Julau dan kehadiran aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian. Pada hari kejadian, JPP mengakui peranti tablet telah diceroboh dan mengumumkan menggantung keputusan di Julau.

“Selepas itu, JPP menukar pendirian dan bertegas tiada data yang terkesan walaupun kejadian itu benar-benar berlaku,” katanya.

Katanya, dengan perbezaan undi sekitar 2,500 saja atau kurang dua peratus daripada jumlah keseluruhan yang keluar mengundi, pengundian di Julau sebenarnya boleh mengubah keputusan untuk jawatan Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan lain.

“Saya ada asas yang kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan. Tambahan pula JPP memang mengakui berlakunya pencerobohan dan Ketua Unit IT JPP, Alvin Teoh memang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes ini.

“Namun, saya juga sedar bahawa kepentingan perjuangan dan parti mengatasi segala-galanya. Kita menawarkan diri untuk memikul amanah dengan hasrat boleh membawa parti ke peringkat yang lebih baik dan meningkatkan khidmat parti kepada rakyat.

“Jika dalam usaha kita mendapatkan amanah itu, parti dijerumuskan ke dalam ketidaktentuan dan persengketaan yang berpanjangan, itu bertentangan dengan niat asal kita untuk berkhidmat,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan mengalah itu dibuat dengan mengambil kira kesan kekalahan kepada Mohamed Azmin yang akan nampak lebih besar dan terkesan.

“Kesanya adalah lebih besar berbanding jika saya mengalah. Beliau (Mohamed Azmin) seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:43 PM