Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


“SAYA ada dua nama calon wanita untuk dicadangkan kepada pimpinan parti,” kata calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Katanya, mereka adalah wanita PKR tempatan yang berkelayakan untuk diketengahkan sebagai calon.

“Kedua-dua mereka sememangnya berkelayakan untuk bertanding,” katanya yang wanita diangkat sebagai calon PRK Rantau ketika ditemui pemberita pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini membuat keputusan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar turut menyatakan supaya PRK di kawasan itu diadakan serta-merta.

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, harapannya itu memandangkan tiada wanita diangkat sebagai calon di Negeri Sembilan pada PRU-14 Mei lalu.

“Sebab itu, saya berharap peluang diberi kepada wanita di DUN Rantau kali ini.

“Saya harap pimpinan parti akan berikan pertimbangan untuk calon wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita yang baharu, Haniza Mohamed Talha turut mahu PRK DUN Rantau diisi oleh calon wanita.

“Kita sudah mempunyai calon berkelayakan tetapi belum boleh mendedahkan siapa buat masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:21 PM