FOTO hiasan
Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


BERANG melihat anaknya bergaduh, seorang bapa menetak dua anaknya itu dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Rantai Rosok, Kota Belud, malam semalam.

Akibat itu, anak perempuan berusia 15 tahun dan abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 22 tahun masing-masing parah di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika kejadian jam 8.30 malam suspek baru sahaja pulang dari ladang lalu menegur anak lelakinya supaya membasuh pinggan.

“Ketika itu, kedua-dua anak suspek bergaduh menyebabkan lelaki itu marah lalu bertindak mengeluarkan parang untuk menakut-nakutkan mereka.

“Ketika itu, suspek mengacah untuk menetak anak lelakinya, namun dihalang oleh anak perempuannya menyebabkan dia terkena tetakan di tangan kiri.

“Abang mangsa turut terkena tetakan di tangan kiri sebelum kedua-dua mangsa melarikan diri ke rumah ibu saudara mereka untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua beradik itu dibawa ke Hospital Kota Belud sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

“Suspek berusia 55 tahun ditahan di Hospital Kota Belud ketika mendapatkan rawatan kerana turut cedera ringan ketika bergelut dengan anaknya.

“Keadaan dua beradik itu stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 4:55 PM