NADZIM (dua dari kanan) berbincang mengenai bantahan pusat penyembelihan halal di Selayang. FOTO Yusmizal Dolah Aling.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung tindakan pihak tertentu yang cuba menghalang pembinaan pusat penyembelihan halal di Selayang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia susulan aduan daripada Pihak Gabungan Penjaja (G3PM) mengenai beberapa siri bantahan bertujuan menggagalkan usaha terbabit sejak 2015.

Katanya, sebagai NGO Islam, PPIM terpanggil untuk bersuara dalam isu itu kerana mendapati ada pihak cuba memainkan isu agama dan perkauman di sebalik pembinaan yang sudah hampir siap itu.

“Kami bersuara kerana agama. Kumpulan ini cuba mencabar usahawan Islam yang ingin memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan ayam halal di pasaran.

“Saya dimaklumkan, mereka mengganggu kerja pembinaan, membuat bantahan melalui NGO yang tidak wujud dan memainkan sentimen menyentuh sensitiviti agama,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa NGO, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman.

Khamis minggu lalu, peniaga dan warga Selayang mengadakan bantahan di hadapan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pembinaan pusat penyembelihan itu kerana didakwa terletak berhampiran kawasan perumahan dan kawasan tumpuan orang ramai.

Ia menjadi tular di media sosial kerana sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad di dalam satu kenyataan memaklumkan memberi sokongan kepada projek berkenaan.

Difahamkan Khalid akan melawat pusat berkenaan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 3:57 PM