PAMERAN Hartanah MyRumah 2018 di AEON Mall Ipoh, Klebang. Foto ABDULLAH YUSOF
Shaarani Ismail dan Zahratulhayat Mat Arif
cnews@nstp.com.my


PAMERAN Hartanah MyRumah 2018 meneruskan siri kelimanya di AEON Mall Ipoh, Klebang, Ipoh bermula hari ini sekali gus yang terakhir pada tahun ini.

Selepas penganjuran sama di Shah Alam, Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka, program MyRumah di Perak kali ini menawarkan pelbagai unit kediaman menarik dan mampu dimiliki yang bukan sahaja di sekitar bandar raya ini, malah di Kedah.

Pameran perumahan anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) itu akan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

MyRumah 2018 di Ipoh kali ini membabitkan penyertaan lima pemaju perumahan dan sebuah syarikat takaful.

Lima pemaju yang mengambil bahagian ialah SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Holding Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd dan P K Lee Sdn Bhd.

Selain itu, syarikat bukan pemaju yang mengambil bahagian pula ialah Takaful Ikhlas Berhad.

Antara projek perumahan yang dijangka menjadi tarikan ialah projek rumah berkembar Metro Maya di Batu Gajah, rumah teres dua tingkat di Taman Klebang Rima, rumah teres dua tingkat di Sunland Residence di Jalan Kuala Kangsar serta rumah berkembar setingkat dan dua tingkat di Taman Permai Utama, Gurun, Kedah.

Majlis perasmian akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Yong Choo Kiong, jam 3 petang ini.

Selain pameran kediaman, MyRumah 2018 turut menampilkan pelbagai program menarik untuk pengunjung termasuk ceramah oleh enam pakar hartanah.

Antara lain membincangkan isu seperti lima ‘trend’ rekaan dan hiasan rumah pada 2019 serta bagaimana tips membeli banyak rumah dalam satu masa, cabutan nombor bertuah serta acara untuk kanak-kanak.

Program kali ini turut menyajikan penampilan istimewa personaliti Maria Tunku Sabri yang akan melakukan demonstrasi masakan pada waktu tengah hari Ahad ini, selain berkongsi pengalamannya dalam bidang hartanah termasuk kisah rumah tujuh tingkatnya yang menjadi tular dalam media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 12:29 PM