KAMALANATHAN (tengah) bersama empat pekerja warga India menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. FOTO Ihsan HUMANITY
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


BUKAN saja tidak dibayar gaji, malah mereka juga tidak diberikan makan.

Itu nasib menimpa empat lelaki warga India apabila terpaksa meminta ihsan orang ramai untuk mendapatkan makanan selepas restoran tempat mereka bekerja di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur ditutup sejak Isnin lalu.

Pekerja terbabit, P Venkataiah, 40, berkata dia bersama tiga rakannya bekerja di restoran terbabit dari 2015 hingga kini sebagai tukang masak dan pembantu kedai.

“Sebelum ini tiada masalah, malah kami mendapat gaji dan diberi makan serta tempat tinggal di kawasan berhampiran restoran berkenaan. Bagaimanapun, sejak lebih dua bulan lalu, majikan tidak membayar gaji kami dengan alasan tidak mempunyai wang.

“Apabila restoran itu ditutup sejak Isnin lalu, kami tidak diberi makan. Keadaan itu menyebabkan kami meminta majikan hantar kami pulang ke negara asal dan memintanya menyerahkan pasport, namun dia enggan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, mereka juga dibantu oleh rakan di sebuah restoran berhampiran yang memberi makanan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia (HUMANITY) T Kamalanathan berkata, beliau dimaklumkan masalah dialami empat pekerja berusia 27 hingga 42 tahun berkenaan oleh orang awam yang memberi mereka makanan.

“Saya dimaklumkan mereka (empat pekerja) tidak dibayar gaji sebanyak RM20,800 untuk tempoh lebih dua bulan selain tidak diberikan makan selepas restoran terbabit ditutup.

“Berdasarkan maklumat itu, saya membawa keempat-empat pekerja terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

“Pada masa sama, saya akan merujuk perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Kedutaan India untuk membantu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 10:57 AM