GAMBAR hiasan
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


PENGUTIP besi buruk dihukum penjara 28 tahun dan 25 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, atas tiga pertuduhan merogol dan mancabul anak kandungnya yang berusia 12 tahun di Pendang antara September dan Oktober lalu.

Ia selepas tertuduh yang berusia 42 tahun itu mengaku bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan pada prosiding yang dijalankan secara berasingan di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Pendang, pada malam 18 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi sama pada penghujung Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Juraidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan itu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa di lokasi sama pada September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Azman kemudian menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh yang sudah bercerai sejak 10 tahun lalu, meminta mahkamah meringankan hukuman kerana dia masih menanggung adik perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 30-an.

Pihak pendakwaan bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan tertuduh adalah jenayah yang berat.

Hukuman penjara bagi kesalahan rogol dan cabul berjalan berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan polis pada 2 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 5:42 PM