SUSPEK penagih dadah nekad memanjat bumbung elak ditahan Penguat Kuasa AADK, dalam satu Operasi Perdana, di Kota Marudu. FOTO Ihsan AADK
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA lelaki sanggup memanjat bumbung dan siling rumah untuk melarikan diri daripada dicekup penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Bunsadan, Kota Marudu, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun suspek berusia 26 dan 34 tahun berjaya ditahan selepas seorang daripada mereka terjatuh ketika bergelut dengan penguat kuasa AADK.

Difahamkan, dua suspek itu sedang menagih dadah di kawasan beranda rumah seorang daripadanya sebelum menyedari kehadiran AADK, menyebabkan mereka memanjat siling dan bumbung rumah.

Penguat kuasa yang melihat situasi itu mengarahkan kedua-duanya turun tetapi mereka enggan menyebabkan penguat kuasa turut memanjat siling bagi menahan suspek terbabit lalu berlaku pergelutan sebelum seorang suspek terjatuh dan ditahan.

Melihat rakannya ditahan, seorang lagi suspek kemudian turun dan menyerah diri.

Ketua Operasi AADK Sabah, Erwan Roslan berkata, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Operasi Perdana selama lima jam bermula 9 malam itu, menahan tujuh lagi individu termasuk tiga wanita kerana disyaki penagih dadah.

“Semua suspek berusia 18 hingga 32 tahun ditahan tiga lokasi berasingan iaitu Kampung Kerongkom dan Bunsadan serta pusat hiburan di pekan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Erwan berkata, hasil saringan ujian air kencing, didapati semua suspek juga positif dadah jenis syabu dan mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 2:46 PM