Nik Sukry Ramli
niksukry@nstp.com.my


KERANI Pejabat Belia dan Sukan Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, hari ini kerana melakukan pecah amanah terhadap kutipan sewa, tahun lalu.

Tertuduh Mohd Hisham Mohd Kamaruddin, 34, dituduh melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai pembantu tadbir Bahagian Pengkeranian dan Operasi di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bera pada 10 Februari 2017 dan 28 Mac 2017.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap hasil kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera berjumlah RM800 pada 10 Februari 2017 yang sepatutnya dimasukkan ke akaun Jabatan Akauntan Negara.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan jumlah RM1,450 pada 28 Mac 2017.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Syadzuwan Mohamad Taib.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib mengarahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 12:26 PM
MOHD Hisham (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kuantan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG