BUNGKUSAN plastik hitam mengandungi daun ketum yang driampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 90 kilogram (kg) daun ketum yang disimpan dalam but belakang kereta dipandunya di Jalan Datok Paduka Raja, Kampung Gajah, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, suspek, 47, ditahan Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam keadaan mencurigakan ketika sedang membuat rondaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil pemeriksaan pada but belakang kereta Toyota SEG itu menemui 13 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum.

“Daun ketum seberat 90 kg dianggarkan bernilai RM1,800 ditemui dalam but belakang kenderaan itu.

“Suspek tidak bekerja dan ketika ditahan dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dipercayai untuk menghantar bekalan ke sana,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun negatif dadah dan semakan turut mendapati lelaki itu tiada rekod jenayah.

“Polis merampas daun ketum itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:38 AM