GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


POLIS memburu sekumpulan tujuh penjenayah yang dipercayai menyamun rantai emas milik seorang wanita di Lebuhraya SILK menghala ke Kajang berhampiran Sungai Ramal Luar, Kajang pada 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 11.09 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta mangsa berusia 30 tahun dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki.

“Disebabkan perlanggaran itu, mangsa berhenti di bahu jalan untuk memeriksa keadaan kereta dan penunggang motosikal berkenaan.

“Pada masa sama, dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa seperti mahu membantu, namun seorang daripada suspek bertindak menarik rantai emasnya dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, dua motosikal dinaiki empat lelaki kemudian menghampiri kereta mangsa lalu membuka pintu bahagian penumpang depan dan mengambil barang berharga.

Katanya, semua suspek melarikan diri melalui jejambat menghala ke Semenyih.

“Siasatan juga mendapati semua suspek dipercayai warga tempatan menggunakan empat motosikal. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, kejadian itu yang tular di media sosial mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

“Pihak polis sentiasa memandang serius setiap kejadian jenayah dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang berdepan situasi sama atau menjadi mangsa kejadian jenayah diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Polis Kajang di talian 03-87336580 untuk bantuan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 10:38 AM