KAPAL didaftar di Panama yang ditahan APMM atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kawasan 2.7 batu nautika dari Kuala Dungun, Dungun, semalam. FOTO ihsan APMM.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal yang bersauh tanpa kebenaran di kawasan kira-kira 2.7 batu nautika dari Kuala Dungun, Dungun, pagi semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal terbabit dipercayai berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia di kawasan itu sejak 12 November sebelum ditahan pada 10.45 pagi.

“Selepas menerima laporan, sebuah kapal APMM bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan ke atas kapal itu.

“Kami dapati kapal itu berdaftar di Panama dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

“Siasatan mendapati terdapat 14 kru warga China berusia 22 hingga 59 tahun dan tiga daripada kru kapal itu dibawa ke APMM Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rashidilhadi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 49 1(B) (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 10:29 PM