LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my

KAPAL KD Teguh milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditugaskan untuk mengiringi pelayaran kapal layar mewah, Equanimity dari Pelabuhan Klang sebelum tiba di Langkawi, hari ini.

Selain kapal itu, tiga bot peronda, PA45, PSC18 dan RH53 milik Pasukan Polis Marin (PPM) turut mengiringi kapal yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Teck Jho atau Jho Low itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kapal itu berlepas dari Pelabuhan Klang dua hari lalu, sebelum tiba di Langkawi, jam 10.35 pagi.

“Kapal itu kini berlabuh di Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan TLDM Langkawi di Tanjung Lembung.

“Pelayaran kapal itu mengambil masa perjalanan lebih kurang dua hari,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, ketika ini, TLDM mengatur gerak kawalan keselamatan di limbungan TDLM tempat berlabuhnya Equanimity.

Berita berkaitan

Equanimity berlabuh di Langkawi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:09 PM