Rosmah (tengah), Rizal (kiri) dan Tengku Adnan akan didakwa esok.
BERNAMA

ISTERI bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta dua lagi individu akan didakwa esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata, suruhanjaya itu sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap Rosmah dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

SPRM berkata Rosmah dan Rizal akan dituduh berhubung kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Mereka berdua akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 2.30 petang esok.

SPRM juga memaklumkan Rosmah sudah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 12.00 tengah hari bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

Kenderaan Proton Perdana yang membawa Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 11.40 pagi sebelum dilihat meninggalkan kawasan itu kira-kira 2.35 petang.

SPRM dalam kenyataan pada itu juga memaklumkan penahanan Tengku Adnan hari ini berhubung siasatan kes penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada jam 3.25 petang di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Ketibaan Tengku Adnan di ibu pejabat SPRM dengan menaiki kereta Toyota Camry hari ini tidak disedari kumpulan pengamal media yang menunggu sejak pagi lagi setelah menjangkakan beliau akan menaiki kenderaan jenis lain.

SPRM berkata Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2.30 petang esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Tengku Adnan baru-baru ini dilaporkan mengakui SPRM telah memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah milik DBKL semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 6:17 PM