FOTO Hiasan
Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@nstp.com.my


KERAJAAN memberi jaminan subsidi ubat dan konsultasi bagi pesakit luar di klinik dan hospital kerajaan diteruskan pada kadar kekal RM1, walaupun Skim Peduli Kesihatan B40 dilaksanakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayaran RM5 juga dikekalkan untuk pesakit yang berjumpa doktor pakar.

“Tiada istilah ubat ‘kelas kedua’ bagi ubat-ubatan generik yang didaftar melalui kajian ‘bioequivalence’ dan ‘availability’ kerana ia mempunyai kualiti dan keberkesanan ubat inovator,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini

Dalam isu berasingan, Dzulkefly berkata, pihaknya dalam peringkat awal menyediakan kertas cadangan mekanisme pelaksanaan kawalan harga ubat-ubatan menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Mekanisme kawalan yang dicadangkan ialah harga jualan siling kepada pengguna di semua saluran pendispensa.

“Ia dilihat paling sesuai dilaksanakan dan selari dengan amalan antarabangsa,” katanya menjawab soalan asal Charles Anthony Santiago (PH PKR-Klang) yang mahu mengetahui langkah menyelaraskan harga ubat di Malaysia.

Dzulkefly berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat menyelaraskan harga ubat dan memastikan akses ubat-ubatan mampu milik kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:14 PM