ANAK kuda belang yang dilahirkan di Zoo Taiping dan Night Safari. Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


ZOO Taiping dan Night Safari menyaksikan kelahiran pertama anak kuda belang pada Ahad lalu sekali gus menjadi peristiwa bersejarah zoo tertua negara itu yang dibuka sejak 1961.

Kelahiran anak kuda belang betina dengan anggaran berat 30 kilogram (kg) itu menjadikan keseluruhan 12 anak daripada beberapa spesies haiwan yang dilahirkan di zoo berkenaan sepanjang tahun ini.

Haiwan lain adalah masing-masing seekor anak ungka tangan putih, seladang, burung keria mahkota serta lapan anak burung botak upeh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, kelahiran baharu itu menambah bilangan haiwan dari 120 spesies yang terdapat di Zoo Taiping.

Katanya, ia juga adalah pencapaian berharga dalam memastikan program pembiakan dan konservasi dapat diteruskan bagi mengelak kepupusan spesies tertentu.

“Anak kuda belang ini adalah kelahiran pertama dicatat Zoo Taiping dan Night Safari sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kuda belang atau nama saintifiknya ‘Equss quagga burchelli’ di sini sebanyak tiga ekor.

“Kelahiran seekor anak seladang pada 19 Oktober lalu pula adalah kelahiran keenam sejak 2000 dan kali terakhir dilahirkan di sini pada 2012,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, kelahiran seekor anak ungka tangan putih seberat antara 0.4 hingga 0.5 kg pada 22 April lalu juga kejayaan penting di dalam pembiakan spesies berkenaan.

“Kali terakhir spesies itu dilahirkan pada 12 Oktober 2017 dan sehingga kini lokasi ini mempunyai 13 ekor spesies berkenaan iaitu lima jantan, enam betina dan dua anak yang masih belum dikenal pasti jantinanya,” katanya.

Katanya, Zoo Taiping dan Night Safari turut berjaya membiakkan seekor anak burung keria dan lapan ekor anak burung botak upeh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 4:31 PM