ORANG ramai membeli-belah pelbagai jualan produk usahawan tempatan pada Program Promosi dan Jualan Hasil Tani MyGAP di AEON Mall, Shah Alam. Foto FAIZ ANUAR
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

MERASAI sendiri kemanisan nanas madu dan tembikai susu yang dicuba cukup membuatkan pengunjung tidak beranjak dari gerai jualan sekali pun tidak membuat pembelian.

Itu belum lagi melihat kesegaran ikan talapia merah serta jualan produk ayam organik yang pasti membuatkan pengunjung terbayang keenakan hidangan bakal di masak untuk makan malam bersama keluarga tercinta.

Itulah dirasai saat berkunjung ke gerai jualan hasil pertanian sempena Program Promosi dan Jualan Hasil Tani myGAB dan myOrganic di Aeon Mall Shah Alam anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang bermula 6 November lalu hingga Ahad ini.

Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, promosi dan jualan hasil tani siri kedua itu diadakan bagi menyelaraskan hasrat kerajaan meningkatkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai produk pertanian yang datang daripada hasil amalan pertanian baik atau lebih dikenali sebagai skim Malaysian Good Agricultural Practices (myGAP) dan skim Organik Malaysia (myOrganic).

Katanya, myGAP dan myOrganic ini salah satu nilai tambah kepada produk kebiasaannya dikeluarkan petani dan penternak serta pengusaha akuakultur dan ia menjadikan satu perkara yang kita galakkan.

“Justeru, adalah wajar myGAP dan myOgarnic ditonjolkan dan dipopularkan sebagai jenama hasil tani keluaran Malaysia yang segar, berkualiti dan selamat
di makan.


MOHD Sallehuddin (tengah) melihat jualan buah durian. Foto FAIZ ANUAR

“Selain itu, kementerian juga yakin program seumpama ini mampu berjaya dan tidak terhenti di sini saja sebaliknya diperluas ke seluruh negara secara berperingkat,” katanya.

Sepanjang enam hari program berlangsung, pengunjung berpeluang mengenal dan seterusnya mendapatkan hasil pertanian seperti sayuran, buah-buahan, ikan serta ternakan seperti ayam, daging dan telur yang dijamin segar, berkualiti dan selamat di makan,” katanya.

Jualan hasil akuakultur pula membabitkan talapia merah dan udang selain susu segar dan produk rumpai laut.

Tidak hanya dengan itu, 15 gerai jualan dan pameran usahawan boleh dikunjungi bagi mewujudkan business matching dalam kalangan usahawan tani bagi meningkatkan peluang pemasaran hasil pertanian.

Jualan makanan seperti kambing bakar dan itik panggang serta makanan popular iaitu ikan patin masak tempoyak yang disediakan tukang masak terkemuka turut menanti pengunjung.


PERSEMBAHAN gimik tarian bagi mempromosikan MAHA 2018 pada Program Promosi dan Jualan Hasil Tani MyGAP. Foto /FAIZ ANUAR

Sementara itu, Street Attack iaitu platform anjuran MOA turut diadakan bertujuan menghebahkan serta menarik minat pengunjung mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada 22 November hingga 2 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 12:04 PM