POLIS merampas daun ketum seberat 55 kilogram selepas menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di Kampung Bata, Jitra. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


CUBAAN lelaki membawa daun ketum seberat 55 kilogram (kg) bernilai RM1,500 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan Kampung Bata, Jitra, melihat kereta dipandu suspek berusia 28 tahun dalam keadaan mencurigakan pada 5 petang.

Menurutnya, anggota polis terbabit kemudian bertindak menahan suspek untuk pemeriksaan di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan itu menemui 11 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 55 kg sebelum semuanya dirampas dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya.

“Perintah tahanan reman akan dipohon hari ini dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 10:01 AM