MAZLAN (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan peralatan dirampas selepas polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian untuk warga China yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi selepas menahan 118 individu dalam serbuan di Lorong Gurney Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


POLIS menumpaskan sindiket perjudian dalam talian untuk warga China yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi selepas menahan 118 individu dalam serbuan di Lorong Gurney Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sindiket berkenaan menawarkan khidmat perjudian dalam talian untuk warga China dengan mengiklankannya di aplikasi WeChat.

Serbuan dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik Bukit Aman dan Balai Polis Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kumpulan berkenaan menjadikan negara ini sebagai pusat untuk mereka menjalankan operasi judi berkenaan dan menerima pertaruhan sehingga RM200,000 sehari dari pemain judi di China.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka menggunakan sistem pembayaran melalui WeChat Pay dan Alipay khas untuk pemain judi dari China.

“Pemain judi dari China yang ingin bermain judi akan menghubungi penganjur di Malaysia dan melakukan transaksi melalui aplikasi berkenaan.

“Sindiket beroperasi di negara ini kemudian memasukkan jumlah pertaruhan dan pemain di China akan bertaruh di dalam laman web,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, individu ditahan terdiri daripada 97 lelaki warga China dan 20 wanita warga China serta seorang lelaki warga tempatan.

Beliau berkata, suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun bekerja sebagai pengurusan bagi urusan pertaruhan dalam talian.

“Mereka beroperasi di banglo mewah yang disewa dengan harga RM30,000 sebulan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi kerana hukuman di negara ini lebih ringan berbanding di negara mereka.

“Berdasarkan kajian dilakukan, saya percaya antara faktor mereka menjadikan negara ini sebagai pusat operasi adalah disebabkan hukuman ringan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak kedutaan China untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan berkenaan polis merampas wang tunai RM30,000 dan 6,000 Yuan (RM3,617), dua set komputer, 118 komputer riba, 479 telefon pintar dan kelengkapan talian.

“Polis kini sedang memohon reman kedua terhadap semua suspek selepas tempoh reman pertama tamat pada hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 11:24 PM