JUTAMAS Waradisai mewakili mendiang adiknya menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah. FOTO Ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


PERASAAN sedih jelas terpancar pada wajah keluarga mendiang Pimpisa Rattanadilok Na Phuket yang mewakilinya untuk menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Anumerta pada Majlis Konvokesyen Ke-31 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mendiang Pimpisa Rattanadilok Na Phuket, 51, meninggal dunia akibat penyakit kanser usus Ogos lalu, berjaya menamatkan pengajian PhD (Linguistik Terapan) di universiti itu selepas memulakan pengajian pada 2014.

Kakak mendiang, Jutamas Waradisai, berkata, keluarganya bangga dan gembira apabila mendiang adiknya berjaya menamatkan pengajian, walaupun tidak dapat menaiki pentas bagi menerima ijazah itu.

“Perasaan sedih tetap menyelubungi hati kami sekeluarga tatkala nama adik diumumkan di dalam dewan besar serba indah ini.

“Saya tahu mendiang sudah berusaha dan bekerja keras untuk menamatkan pengajian dan menggenggam PhD, walaupun mengetahui keadaan penyakitnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jutamas menerima ijazah PhD yang disampaikan Canselor UUM, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah.

Sementara itu, penyelia tesis mendiang, Prof Madya Dr Siti Jamilah Bidin berkata, beliau kagum dengan semangat mendiang yang berusaha menyiapkan tesis dalam keadaan kesihatan tidak memuaskan.

Menurutnya, mendiang Pimpisa adalah penuntut yang cemerlang dan rajin, malah dia dikenali sebagai penuntut yang tidak kenal erti putus asa dalam mengejar cita-cita hidupnya demi membahagiakan ibunya.

Mendiang Pimpisa Rattanadilok Na Phuket, berasal dari Trang, Thailand berjaya menyiapkan tesisnya bertajuk ‘Native Language Interference In Narrative And Descriptive Writing Among Thai EFL Students’ sebelum meninggal dunia selepas dua minggu disahkan mengidap kanser usus tahap akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 12:19 PM