LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
BERNAMA

BEBERAPA nama tokoh terkenal antarabangsa bukan kalangan ahli politik dikenal pasti sebagai calon Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang baharu, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee, yang dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan Presiden UIAM yang mencetuskan kontroversi itu, berkata nama-nama calon berkenaan akan dipersembahkan kepada Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

“Bakal Presiden UIAM mesti terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi yang tinggi,” katanya selepas melakukan tinjauan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya, hari ini.

Maszlee dilaporkan berkata, beliau bersetuju melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dan menunggu sehingga istiadat konvokesyen UIAM, yang sedang berlangsung berakhir, sebelum memberi laluan kepada pengganti yang bakal dilantik.

Dalam perkembangan lain, Maszlee menafikan berita berhubung rombakan Kabinet membabitkan beliau dan menyifatkannya sebagai hanya khabar angin bagi mengalihkan siasatan kes berprofil tinggi sebelum ini.

Maszlee berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta beliau agar merombak kokurikulum pelajaran pada pertemuan, baru-baru ini.

“Beliau minta saya rombak kokurikulum dan bukannya pasal (rombak) Kabinet. Takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombakan Kabinet pula,” katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Portal itu mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.

Berita berkaitan

'Saya lepaskan jawatan Presiden UIAM'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 11:39 AM